Merebut Peluang 10 Awal Zulhijjah (a bit late)

‘Ohh.. duhai hari-hari kebangkitan’..itulah laungan nurani, degupan hati yang hidup, ia suatu perasaan yang telah disebutkan oleh Imam Junaid r.h.m dalam kerinduan dan nostalgianya kepada hari-hari permulaan iltizam di atas jalan Allah ini. Itulah dia saatnya rohani meningkat dan jati diri terletak pada tempat tertinggi. Kesan daripada perjalanan menuju Allah, tangisan di hadapan-Nya, takut daripada-Nya, dan menghadap kepada-Nya dengan sepenuh kesungguhan.

‘Ohh.. duhai hari-hari kebangkitan’ .. aku mendapati diriku pada kala ini mengulang-ulangkan ia bersama Junaid rhm, sebagai sebuah bukti kerinduan kepada hari-hari puasa yang kini bersamaku, semata-mata kerana Allah. Rindu kepada malam-malam yang bercahaya bersamaku kerana-Nya, ketika kekhusyukan tilawah dengan air mata yang bercucuran, kerana takut, risau, dan khusyuk kepada Penjaga yang Maha Mulia.

‘Ohh.. duhai hari-hari kebangkitan’ ..laungan yang menerbitkan kerinduan kepada kedatangan 10 hari awal Zulhijjah dan berita-berita baik untuk kita semua. Seolah-olah kita akan berjanji-temu padanya dalam hari-hari yang penuh berkat ini. Seolah-olah hari-hari itu datang kepada kita, membawa bersamanya hadiah-hadiah dari Tuhan yang Maha Pemurah, dan menghidupkan kecintaan dan kerinduan dalam jiwa-jiwa orang muslim. Maka, tersentaklah perasaan, tergugahlah emosi mereka, dan akhirnya membawa mereka kepada ruang lingkup ketaatan dan mihrab ibadah. Ia tidak lain hanyalah sebagai menyahut seruan baginda s.a.w ;

“Tiadalah hari-hari yang lebih mulia di sisi Allah s.w.t dan tidaklah lebih aku cintai untuk beramal padanya melainkan pada sepuluh hari pertama bulan ini (Zulhijjah), maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid padanya”.

Sebaik-baik tugasan

‘Ohh.. duhai hari-hari sepuluh’ .. ia adalah sebaik-baik masa dan semulia-mulia waktu di mana ketika itu Allah turun kepada hamba-hamba-Nya, membuka pintu-pintu keampunan, dan mencurahkan nikmat kepada mereka. Maka jadilah sesuatu amalan itu lebih mudah diterima, dan doa lebih mudah untuk dikabulkan.

Itulah dia peluang sangat besar bagi seorang muslim untuk memperbaharui hidupnya dan meningkatkan iman dalam jiwanya. Itulah hari-hari di kala bumi semakin terasa dekat dengan langit, maka terbukalah pintu-pintu langit dengan cahayanya, limpahan kurnianya, dan kebaikannya, maka bertempiaslah segalanya kepada seluruh penghuni bumi. Itulah hari-hari di kala manusia yang suci berlumba-lumba dengan malaikat-malaikat yang agung. Itulah hari-hari keagungan di mana Tuhan yang Maha Pemurah datang kepada hamba-Nya, lalu melimpahkan kenikmatan dan rahmat-Nya dan menyempurnakan nikmat-nikmat yang banyak, dari segi zahir dan batin.

Lalu Dia ampunkan mereka dan menerima taubat mereka serta melepaskan mereka dari api neraka ;

“Tidaklah satu hari pun yang lebih banyak Allah lepaskan hamba-hamba-Nya dari api neraka melainkan Hari Arafah”.

Wahai saudaraku yang dikasihi,

Sesungguhnya ia adalah hari-hari yang lebih berharga daripada emas. Barangsiapa yang mampu untuk melapangkan waktunya pada hari itu maka lakukanlah, dan barangsiapa yang mampu untuk menghidupkannya maka lakukanlah. Aku memperingatkan diri ku dan dirimu dengan kata-kata Abu Muslim Al-Khaulani ;

“Adakah sahabat-sahabat Muhammad s.a.w menyangka mereka sahaja yang diberi peluang tanpa kami ? Demi Allah, kami akan menyesakkan mereka ke atasnya(amalan 10 hari Zulhijjah) sehingga mereka menyedari bahawa mereka telah meninggalkan rijal-rijal di belakang mereka”.

Maka marilah kita bersama-sama berlumba di dalamnya dalam berbuat kebaikan dan beramal salih, jadikanlah syiar kita pada hari-hari ini ; “Demi Allah kami akan menandingi mereka” dalam perlumbaan untuk mengiringi Kekasih s.a.w, dan perlumbaan orang-orang yang pergi haji dalam merebut maghfirah pada hari pelepasan (dari api neraka). Sudah pasti pada hari-hari itu nanti, semestinya, akan menjadi sebuah stesen untuk perjalanan ke syurga.

Kenapa perlunya tugasan itu?

· Sebagai do’a dan pengharapan, untuk kita menghargai detik-detik 10 hari Dzulhijjah seperti yang disukai dan diredhai oleh Allah s.w.t. Dalam masa yang sama kita merebut peluang untuk menerima hadiah-hadiah Allah s.w.t, serta menghidupkan kembali ciri-ciri rabbani dan jiwa berdaya bersaing dalam kebaikan. Ia juga sebagai suatu tanda tamak kita agar diliputi oleh rahmat Allah s.w.t, dan agar Dia memasukkan kita dalam golongan yang diperkatakan-Nya kepada malaikat-malaikat ; “Aku menjadi saksi kepadamu (malaikat-malaikat) bahawa sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka”.

· Sebagai tanda seruan dan galakan serta prihatin, untuk memperkuatkan jiwa yang rabbani, yang merupakan satu-satunya bekalan serta bahan api untuk pergerakan dakwah dan harakah kita.

· Sebagai suatu usaha untuk membuka ruang kepada masyarakat dalam menyebarkan perkara-perkara kebaikan dalamnya. Ia sebagai proses untuk mengajak mereka dalam mengutip seberapa mungkin kebaikan dalam hari-hari tersebut, sepertimana yang diredhai dan disukai oleh Allah s.w.

Fokus dalam tugasan

Tuntutan ini adalah demi menghargai 10 hari Dzulhijjah yang penuh barakah, untuk meningkatkan tahap keimanan dan rohani serta jiwa rabbani dalam diri. Ia selari dengan isi kandungan amal fardi, usari, jama’ie dan kemasyarakatan, dengan memberikan faedah yang paling besar serta penerokaan yang optimum terhadap hadiah-hadiah Allah s.w.t. Ia dilakukan dengan meletakkan perancangan dan membuat persediaan-persediaan seperti mushaf, wirid-wirid, tasbih, siwak, buku nota dan sebagainya.

Perkara-perkara dalam tugasan

1. Tugasan individu

a. Bersegera untuk bertaubat dengan sesungguhnya, secara berulangkali pada setiap hari.

b. Sentiasa perbaharui niat kerana Allah s.w.t pada setiap perkataan dan perbuatan, dan menghadirkan lebih dari satu niat untuk satu perbuatan

c. Duduk di masjid selepas solat Subuh, dengan zikir dan tilawah sehingga waktu syuruq, untuk mendapat ganjaran haji dan umrah

d. Melakukan amal salih (secara sembunyi)

e. Melazimi sepenuhnya wirid-wirid dan zikir-zikir, serta berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan amalan-amalan sunat.

f. Buat muhasabah harian dan melaziminya, serta buatkan markah dan peratus dalam praktiknya, supaya lebih optimis dalam melihat kelemahan-kelemahan diri.

g. Qiyamullail secara sendirian, setiap hari di rumah –paling kurang 2 rakaat, sebelum tidur dan sebelum Subuh.

h. Bersedekah 4 kali dalam 10 hari tersebut, dan mengambil bahagian dalam korban bagi sesiapa yang berkemampuan.

i. Bersungguh-sungguh untuk menghabiskan al-Quran sekali dalam tempoh tersebut. Sekiranya tidak mampu, maka bacaan tilawah 1 juzu’ setiap hari.

2. Tugasan ahli rumah

a. Solat 2 rakaat bersama isteri dan anak-anak selama 3 hari, serta menitikberatkan doa dan zikir.

b. Selesaikan apa-apa masalah berkaitan diri dengan isteri dan anak-anak dalam masa 10 hari ini.

c. Susun pertemuan mingguan, serta terangkan fadhilat hari-hari tersebut sebelum memasukinya.

d. Kumpulkan keluarga pada waktu makan bersama (sahur atau iftor) setiap hari, dan berbuka puasa bersama paling kurang 3 kali.

e. Haji dan Umrah (duduk selepas Subuh) sekali, bersama isteri dan anak-anak.

f. Sediakan perhiasan raya di rumah atau kediaman, serta di kawasan persekitaran.

3. Tugasan bersama orang-orang salih

a. Lebihkan sudut imani dan rohani dalam tugas-tugas bersama dalam tempoh itu, dan baca sedikit mengenai kelebihan 10 hari tersebut.

b. Do’a untuk saudara-saudara yang tiada, dan untuk saudara-saudara yang sedang berjihad di Palestin dan di tempat-tempat lain.

c. Ziarahi guru-guru, dan mengambil faedah daripadanya, serta mencari-cari bekalan di sisinya.

d. Berbuka puasa bersama-sama satu kali, sama ada di masjid atau di rumah.

e. Sebarkan semangat takaful (saling mengimbangi) dan semangat kasih-sayang bersama sahabat-sahabat.

f. Pertemuan sebelum Subuh di masjid, dan menunaikan solat Tahajjud bersama-sama, paling kurang 2 kali.

g. Iktikaf pada waktu malam, dari waktu Maghrib hingga Subuh, ataupun tidur bersama.

h. Lakukan tugasan-tugasan dakwah dan harakah dan apa-apa yang sesuai dengannya, dengan cara yang sempurna.

4. Tugasan bersama masyarakat umum

a. Sebarkan kelebihan-kelebihan 10 hari Dzulhijjah, dan mendorong masyarakat untuk mengambil seberapa banyak faedah padanya.

b. Berbuka puasa besar-besaran bersama ahli-ahli kawasan kediaman, untuk mewujudkan ikatan di antara mereka.

c. Turut serta dalam kerja-kerja kemasyarakatan setiap minggu.

d. Bersedekah kepada keluarga yang miskin.

e. Memberikan sumbangan kepada Palestin pada waktu berbuka puasa (dengan berdoa), dan ajak sesiapa yang dikenali, mualakan dengan diri sendiri.

5. Tugasan pada Hari Raya (pagi dan malam)

a. Hidupkan malam dengan qiyamullail.

b. Mengambil bahagian dalam persiapan solat raya, dan solat bersama orang-orang salih.

c. Menyembelih korban (bagi sesiapa yang mampu), dan jangan lupakan hak orang-orang fakir.

d. Turut serta dalam mengumpulkan kulit-kulit binatang korban.

e. Berbuat baik kepada ibubapa, dan menziarahi ahli keluarga dan sahabat-sahabat, serta mengucapkan tahniah.

f. Menggembirakan ahli keluarga dan anak-anak.

Tips untuk berjaya dalam projek ini

1. Bekerjasama bersama sahabat-sahabat dalam melaksanakan tugasan dalam bentuk kumpulan.

2. Menyertakan masyarakat bersama-sama tugasan ini, boleh jadi orang yang disampaikan lebih berkesan daripada pendengar.

3. Berdo’a dan bertawassul kepada Allah supaya menolong kita dalam melaksanakan tugasan ini.

4. Sentiasa perbaharui niat dan azam, dan mengingati bahawa niat seseorang lebih terkesan daripada perbuatannya.

5. Berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan dengan mengambil kira setiap anasir-anasirnya, sekiranya tidak mampu, maka buatlah apa yang termampu. Perbaiki dan sentiasa mendekatkan (kepada yang lebih baik), dan jangan berputus asa.

Pesanan khusus untuk projek ini

1. Fokus untuk kebersamaan setiap individu, mempelbagaikan niat, ihsan dalam beramal, dan setiap orang hendaklah menjadikan target masing-masing (al-Quran, silaturrahim, qiyam dsb.) pada tempoh tersebut sebagai suatu projek untuk disiapkan.

2. Membuka ruang seluasnya kepada masyarakat serta menggerakkan orang lain.

3. Sekiranya mempunyai isteri dan anak-anak, jangan lupa untuk menyertakan mereka dalam projek rabbani ini.

4. Sekiranya ada teman yang baik, maka buatlah persetujuan dengannya untuk ikut program ini, serta saling mengingatkan. Sekiranya ada masa untuk lakukan ia bersama-sama, maka itu lebih baik.

5. Berusaha untuk menyebarkan perkara ini dalam ruang kediaman ahli keluarga, sahabat handai, jiran-jiran, dan teman-teman.

6. Ikatkan keazaman untuk meneroka 10 hari Dzulhijjah pada tahun ini, dengan sepenuh usaha, dalam ketaatan kepada Allah. Jangan lupa untuk membuat amal-amal salih secara sembunyi (hanya di antara dirimu dan Tuhanmu)

Diambil dari ismamesir